RM1 JUTA BAGI BAIKI PADANG STADIUM SULTAN MIZAN

Rabu      28 November 2018          

28 nov 1-1.jpg

TERENGGANU: Kerajaan Terengganu bakal menerima pembiayaan RM1 juta daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kerja penambahbaikan padang Stadium Sultan Mizan, Gong Badak tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, apabila kerja pembaikan itu siap, ia akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan venue pertandingan bola sepak yang dapat menampung kapasiti penonton lebih besar.

Katanya, stadium berkenaan mampu memuatkan sehingga 55,000 orang pada satu-satu masa, berbanding Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang hanya berkapasiti 10,000 orang.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan  Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) mengenai usaha kerajaan negeri menyediakan prasarana dan kemudahan yang lebih baik dalam sukan bola sepak pada Persidangan Dun di sini hari ini.

Ketua Dun  Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan kecil untuk beberapa program.

Katanya, peruntukan sekitar RM1 juta hingga RM2 juta tidak begitu realistik kerana dikhuatiri akan habis di peringkat perancangan dan mesyuarat sahaja bahkan tidak mencukupi apabila hendak dilaksanakan di peringkat lapangan. – Bernama