PERLAWANAN AMAL BANTU BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK

Jumaat, 26 Julai 2019

Oleh: Nisa Ardila

KUALA PILAH: Kelab Bolasepak TMS Old Boys Kuala Pilah akan mengadakan Perlawanan Amal Bola Sepak Veteran sebagai usaha membantu bekas pemain Negeri Sembilan, Zapril Hashim.

Zapril yang kini berusia 61 tahun telah menjalani pembedahan kecil melibatkan tiga jari kakinya di sebuah Hospital di Selangor, baru-baru ini akibat penyakit kencing manis.

Menurut Presiden TMS Old Boys, Mohd Nor Azam Abdullah, perlawanan menentang Royal Sungei Ujong FC itu dijadualkan berlangsung di Rhinos Arena, Rahang Square, Seremban jam 5 petang esok.

"Tujuan utama perlawanan ini bagi mengumpulkan sumbangan daripada peminat dan warga bola sepak di Negeri Sembilan khususnya, untuk diserahkan kepada Zapril.

"Beliau merupakan bekas pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan sekitar penghujung 70an dan 80an, sebelum berhijrah ke pasukan Selangor," katanya kepada NS Daily, di sini.

Atas dasar prihatin, kata Mohd Nor Azam, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan perlawanan amal berkenaan yang turut mendapat kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

"Harga tiket ditetapkan sebanyak RM5, manakala kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan wanita pula dikecualikan bayaran.

"Kami harap usaha ini mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk media, agar matlamat utama perlawanan dianjurkan tercapai.

"Antara pemain veteran yang telah mengesahkan kehadiran adalah Zainuddin Husin; Isa Abas; Mohd Noor Yaacob; Mutalib Adam; Hamdan Wahab dan Kuay Swee Hua," katanya.

Media melaporkan sebelum ini, bekas pemain sayap kanan The Red Giants itu baru sahaja selesai menjalani pembedahan tiga jari kaki ekoran kencing manis.

Beliau yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan dan merupakan anak kedua daripada enam beradik, kini hidup sebatang kara di Kuala Lumpur. 

Antara kejayaan besar Zapril bersama pasukan Selangor adalah membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia sebanyak lima kali.