HARIMAU MALAYA KE PENTAS SEPARUH AKHIR

Ahad      25 November 2018          

25 nov 1-1.jpg

BUKIT JALIL: Harimau Malaya memastikan kemaraan ke pentas separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas menewaskan Myanmar 3 - 0 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Dua gol pada separuh masa pertama hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minit ke 25 dan ketua pasukan Mohd Zaquan Adha (m-46 dan m87) sudah cukup buat anak didik Tan Cheng Hoe berada dalam empat kelompok terbaik.

Melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding aksi menentang Vietnam sebelum ini, semangat juang Harimau Malaya jelas kelihatan.


Gandingan Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Safawi Rasid dan Mohd Zaquan Adha di bahagian

depan nyata memberikan tekanan kepada banteng Myanmar yang dilihat bertahan mengekang asakan Harimau Malaya.

Memasuki minit ke 25, Zaquan Adha seharusnya meletakkan Malaysia di hadapan namun tolakan lemahnya ketika hanya berhadapan dengan penjaga gawang Myanmar, Kyaw Zin Htet menghampakan kira-kira 84,000 penyokong tuan rumah.

Selang tiga minit kemudian, penjaring terbanyak Malaysia, Norshahrul memastikan ketajaman penyudahnya apabila bijak menyambar bola hasil percubaan Sumareh yang terkena palang gol untuk menewaskan Zin Htet.

Gol tersebut terus menyemarakkan semangat barisan pemain yang terus menguasai perlawanan serta mengatur gerakan memburu gol kedua.

Zaquan Adha sekali lagi memiliki peluang untuk mencetak nama selaku penjaring gol namun tandukan lemahnya selepas mendapat hantaran dari Sumareh berjaya didakap kemas Zin Htet.

Kelincahan Sumareh menjadi igauan buruk buat pelawat apabila menghadiahkan sepakan penalti buat Malaysia selepas pertahanan lawan Lwin Moe Aung menjatuhkannya dalam kotak penalty.

Zaquan Adha yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut memastikan tuan rumah menggandakan kelebihan jaringan pada masa tambahan separuh masa pertama untuk kedudukan 2-0 sebelum kedua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan.

Babak kedua bersambung , Malaysia terus garang memburu gol ketiga melalui Sumareh pada minit ke 46 namun ketangkasan Zin Htet menafikan impian tersebut.

Beberapa pertukaran dilakukan Cheng Hoe dengan mengeluarkan Sumareh, Norshahrul Idlan dan Akram serta memasukkan Shahrel Fikri, Kenny Pallraj Davaragi dan Akhyar Rashid terus memberikan tekanan kepada Vietnam.

Ternyata pertukaran pemain tersebut membuahkan hasil apabila Malaysia memiliki beberapa peluang terhidang namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Berbaki tiga minit separuh masa kedua tamat, Zaquan Adha mencetak gol kedua peribadi dan ketiga pasukan memastikan kemenangan mutlak Harimau Malaya.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia berada di tangga kedua kumpulan selepas mengutip sembilan mata manakala Vietnam yang menewaskan Laos, 3-0 selaku johan dengan 10 mata. – Sinar Harian