NEGERI SEMBILAN LAKAR KEMENANGAN PERTAMA

Sabtu, 24 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: Negeri Sembilan akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia, selepas menewaskan Terengganu FC 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, anak buah Mohamad Zaki Shaikh Haji Ahmad tidak menunggu lama apabila Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menjaringkan gol pertama seawal minit kedua perlawanan. 

Selang tiga minit kemudian, pasukan tuan rumah memperoleh gol kedua apabila Mohamad Aiman Mohamad Khalidi dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain lawan.



 

Jose Almir Barros Neto mengambil sepakan berkenaan dan berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu FC, Wan Muhammad Azraie Wan Teh untuk Negeri Sembilan mendahului 2-0.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Lee Andrew Tuck pada minit ke-35.

Terengganu hampir menyamai kedudukan pada minit ke-38 menerusi percubaan Sanjar Shaakhmedov, namun berjaya diselamatkan oleh Muhamad Hamka Daud.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Mohd Nafuzi Mahammad Zain dilihat mula memperkemaskan permainan dan acap kali mengasak kubu pasukan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kegagalan Wan Muhamad Azraie Wan Teh menangkap kemas sepakan Jose Almir Barros Neto menyebabkan bola muntah disambar Igor Carneiro Luiz pada minit ke-65.

Namun pasukan pelawat berjaya mengambil kesempatan atas kelekaan pertahanan Negeri Sembilan pada minit ke-90, apabila Serhii Andrieviev menjaringkan gol kedua Skuad Penyu. 

Kemenangan ini pasti memberi motivasi kepada Skuad Jang untuk meraih kemenangan pada perlawanan akan datang, bagi memburu slot ke suku akhir.