JANGAN MIMPI LA HARIMAU MALAYA!

Khamis      22 November 2018          

22 nov 1-1.jpg

KUALA LUMPUR: Myanmar memberi amaran kepada skuad Harimau Malaya supaya tidak cepat memasang angan-angan untuk mara ke separuh akhir apabila mereka sedia memberikan tentangan hebat pada pertembungan terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Skuad kendalian jurulatih Jerman, Antoine Hey itu membuktikan betapa kemampuan mereka tidak boleh diperlekehkan apabila berjaya mengikat pasukan pilihan, Vietnam 0-0 di Yangon, semalam.

Keputusan itu membolehkan Myanmar berkongsi tujuh mata dengan Vietnam namun kekal ditangga teratas menerusi kelebihan jaringan dan hanya perlu seri dengan Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, pemain tengah Hlaing Bo Bo percaya, mereka kini berhak bergelar sebagai pencabar kejuaraan berdasarkan prestasi semasa mereka.

"Sememangnya saya tahu bahawa Vietnam dan Thailand adalah pasukan terkuat tapi malam ini (semalam) kami membuktikan bahawa kami memiliki kualiti dan menujukkan betapa bahayanya kami," katanya dalam satu kenyataan di www.affsuzukicup.com.

Skuad The White Angels itu tidak pernah mara ke final dengan pencapaian terbaik di Piala AFF adalah beraksi di separuh akhir pada edisi 2004/05 dan 2016 di mana mereka menyingkirkan skuad negara dengan kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Yangon.

Meskipun satu mata sudah cukup untuk mereka meloloskan diri ke separuh akhir, namun Bo Bo menegaskan kemenangan tetap menjadi buruan mereka.

"Kami tidak akan bermain untuk mendapatkan satu mata dan seri, hanya tiga mata dan kemenangan saja yang menjadi sasaran kami," kata pemain yang kini mewakili kelab Yadanarbon FC itu.

 

Bagaimapun, dia mengakui Malaysia, juara 2010 tidak mudah dikalahkan apatah lagi bakal mendapat sokongan padu penyokong sendiri seperti yang mereka rasai ketika beraksi di Yangon semalam.

 

"Kami bermain sangat baik (menentang Vietnam), bukan hanya saya seorang tapi seluruh pasukan. Kami mahu membalas semula sokongan penyokong yang ramai datang ke stadium malam ini (semalam) dan sekarang kami fokus pada perlawanan seterusnya dan memastikan kami mendapat mata yang kami perlukan," kata Bo Bo.– Berita Harian