HASRAT JANG KE LIGA SUPER TIDAK KESAMPAIAN

Ahad, 21 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SHAH ALAM: Negeri Sembilan dan UiTM FC sekadar seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana 2019 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kempunan untuk mara ke saingan Liga Super bagi musim 2020.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-23 menerusi Park Yongjun.

Namun pada minit ke-39, Skuad The Lions kehilangan Agele Bernard Coulibally yang dibuang padang, selepas mengutip kad kuning kedua.

Kedua-dua pasukan yang masih mencari rentak kemenangan, tampak berhempas pulas untuk menembusi kubu lawan.

Namun, serangan dilancarkan oleh ke atas satu sama lain masih gagal membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Mohd Zan Mat Aris bangkit untuk mencari gol penyamaan.

Hasilnya pada minit ke-63, Skuad Jang berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Shunsuke Nakatake.

Jaringan ini tampak seolah-olah memberi sinar harapan kepada Skuad Jang.

Malangnya pada minit ke-65, Mohammad Aiman Mohamad Khalidi dibuang padang kerana mengasari pemain UiTM FC.

Kedudukan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat, lalu menyaksikan kedua-duanya kekal di Liga Perdana pada musim hadapan.

Keputusan rasmi menyaksikan Pulau Pinang mengiringi Sabah ke Liga Super 2020.

The Panthers menundukkan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.