SUPER SCHOOLS RUGBY 15'S MEDAN PAMER AKSI TERBAIK

Selasa, 21 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

KUALA LUMPUR: Kejohanan Super Schools Rugby 15’s kembali menemui peminat sukan ragbi tempatan mulai Mac depan, dengan aksi melibatkan pasukan sekolah terbaik dari seluruh negara.

Acara tahunan yang dianjurkan sejak 2013 itu menyaksikan peningkatan jumlah pasukan bertanding, daripada lapan pasukan pada tahun lalu kepada 12 pasukan.

Pengarah kejohanan, Encik Shahrizin Shaharudin berkata, perkembangan tersebut bakal memberikan nafas baharu kepada kejohanan edisi ketujuh itu.

"Super Schools Rugby 15’s sentiasa memasang impian untuk meluaskan penganjuran ke seluruh negara. Menerusi penambahan empat pasukan baru, kita bakal lihat jumlah negeri yang terlibat (semakin) bertambah. 

"Kita amat berhati-hati dalam pemilihan pasukan terlibat dan yakin sekolah yang terpilih akan meningkatkan lagi kualiti pertandingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis undian dan taklimat pasukan di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, juara bertahan iaitu Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) bakal berdepan cabaran Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan wakil tunggal Johor iaitu Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) dalam kumpulan A.

Dua pasukan baharu, Kolej Yayasan Saad (KYS) dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ) bakal berentap di kumpulan B bersama wakil Negeri Sembilan, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).

Sementara itu, juara dua kali, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bakal beraksi menentang Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) dan gergasi ragbi Kedah, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dalam kumpulan C.

Wakil Perak pula, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) melengkapkan kumpulan D bersama dua wakil dari Lembah Klang, Victoria Institution (VI) dan Maktab Tentera Darat (MTD).