'HANYA 4 MATA JADI PEMISAH'

Isnin      19 November 2018          

19 nov 1-1.jpg

KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui sedikit ralat gagal memintas Franco Morbidelli selepas tamat musim 2018 di Valencia.

Hafizh yang mengutip keseluruhan 46 mata musim ini menamatkan saingan di tangga ke-16 dan hanya dipisahkan empat mata dengan Morbidelli untuk merangkul gelaran muka baharu terbaik.

Walaupun gagal menghadiahkan sesuatu kepada Yamaha di perlumbaan terakhirnya bersama pasukan itu, Hafizh tetap bangga dengan pencapaian debutnya di pentas MotoGP.

"Pada akhirnya hanya empat mata memisahkan saya dan juara muka baharu terbaik, Morbidelli. Tahniah kepadanya!

"Apa pun, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan, penaja, keluarga saya dan peminat yang sentiasa menyokong.

"Minggu depan saya akan memulakan perjalanan baharu bersama pasukan baharu dan saya akan terus bekerja keras. Terima kasih semua," katanya yang akan beraksi bersama KTM musim depan.

Hafizh yang bermula di petak ke-21 perlumbaan terakhir itu bagaimanapun beraksi cemerlang apabila berjaya mengakhiri saingan di tempat ke-10 dalam aksi litar basah penuh drama yang menyaksikan ramai pelumba gagal menamatkan perlumbaan.

Mengulas prestasinya dalam aksi penutup tirai itu, Hafizh akui tidak menjangkakan mampu berada dalam senarai 10 teratas.

"Saya tidak jangka dapat berada di top 10 di litar basah. Ada banyak drama yang mana ramai pelumba terbabas dan kami terpaksa menghentikan perlumbaan seketika. Walaupun begitu, kami tetap yakin mampu memberi cabaran kepada pelumba lain.

"Bagi saya, ini kali pertama dapat menghabiskan perlumbaan di litar basah dan saya telah belajar banyak perkara di sini," katanya lagi. – Sinar Harian