MIFA 'SEBELAH KAKI' KE LIGA SUPER

Sabtu      17 November 2018          

17 nov 1-1.JPG

KUALA LUMPUR: Penarikan diri Felcra FC telah menjadikan Mifa (tempat ketiga Liga Premier 2018) pilihan utama untuk dipromosikan ke Liga Super 2019 bagi melengkapkan senarai 12 pasukan bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam berkata, Mifa  bagaimanapun perlu memenuhi beberapa syarat tertentu sebelum disahkan 'naik pangkat' musim depan.

"MFL telah menghantar surat kepada Mifa tentang lapan kriteria yang harus dipenuhi sebelum dipilih untuk dipromosikan ke unifi Liga Super Malaysia 2019.


"Antara kriteria tersebut adalah, membuktikan Lesen Kelab yang telah diluluskan oleh FAM, deklarasi pembayaran tertunggak, perancangan kewangan 2019 hingga 2021,

pengauditan penyata kewangan yang telah dihantar ke FAM, perjanjian sewaan stadium bagi lima musim terakhir (2014-2018), carta organisasi pasukan, deklarasi intergriti bagi lima musim terakhir (2014-2018) dan perancangan pasukan bagi menaikkan jumlah penyokong dan memantapkan perhubungan bersama penyokong," katanya.

Jelasnya lagi, penelitian terperinci sebelum mengesahkan status Mifa perlu dilakukan bagi mengelak sebarang masalah berbangkit yang mampu menggugat perjalanan liga musim depan.

"Seperti berlaku tahun lepas, pasukan tempat ketiga telah diberi peluang untuk naik, tapi kita lihat pasukan tersebut telah menduduki tangga terbawah di penghujung musim.

"Jadi, kita perlu membuat penilaian dahulu sebelum mempromosikan pasukan ini di liga tertinggi supaya mereka bersedia dengan perancangan untuk memberi saingan kompetitif," katanya.

Tambahnya, perkara sama akan dilakukan dalam saingan Liga Premier 2019 yang mana setakat ini hanya ada lapan pasukan sahaja sah beraksi dengan empat slot lagi masih kosong.

"Bagi memenuhi 12 slot tersebut, FAM akan mencadangkan empat pasukan dari Liga FAM yang akan dipromosikan dan seterusnya MFL akan membuat penapisan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Keputusan akhir bagaimanapun tertakluk kepada Lembaga Pengarah MFL," katanya lagi. – Sinar Harian