ZAINAL ABIDIN PENGENDALI BAHARU MELAKA UNITED

Rabu      14 November 2018          

14 nov 1-1.jpg

MELAKA: Bekas pemain kebangsaan era 80 dan 90-an, Zainal Abidin Hassan diumumkan Ketua Jurulatih Melaka United  yang baharu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari  berkata pelantikan itu berkuatkuasa hari ini dengan Zainal Abidin ditawarkan kontrak selama setahun hingga tempoh 13 November 2019 untuk mengemudi skuad Sang Kancil.

Beliau berkata, pemilihan Zainal Abidin itu berdasarkan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam dunia bola sepak bukan sahaja sebagai jurulatih beberapa pasukan sebelum ini namun sebagai pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan.


"Pelantikan ini juga mengambil semangat baharu kepada

Melaka United kita berharap pasukan ink dapat membuat persediaan lebih awal bagi membentuk barisan terbaik dalam menghadapi saingan Liga Super musim depan.

"Kepercayaan ini diberikan kepada beliau kerana kita yakin beliau mampu membawa pasukan negeri ini ke peringkat lebih jauh dalam saingan lain juga seperti kempen Piala FA dan Piala Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa), menandatangani kontrak pelantikan Ketua Jurulatih Melaka United bersama Zainal Abidin di pejabatnya di Ayer Keroh.

Pelantikan jurulatih berusia 57 tahun itu juga menggantikan E. Elavarasan yang tidak mahu menyambung khidmat sebagai ketua jurulatih skuad Hang Tuah itu.

Sementara, Zainal Abidin berkata beliau berterima kasih atas kepercayaan tinggi kepada pihak MUSA memberinya peluang itu dan bertekad mahu menjalankan tanggungjawab itu sebaiknya.

Mengulas lanjut, bekas jurulatih Pulau Pinang itu menyifatkan Melaka United sebuah pasukan yang segar dengan barisan pemain sedia ada dan bakal diserap masuk yang mampu memberi impak positif untuk meraih pencapaian lebih baik.

"Melaka United adalah pasukan yang pertama menawarkan kontrak dan dari hari pertama sehingga perkara ini dimuktamadkan saya tidak berbincang dengan mana-mana pasukan lain dan faktor saya menerima tawaran ini juga berdasarkan kemampuan melaka untuk melangkah lebih jauh selain mempunyai fasiliti yang baik.

"Matlamat saya selepas ini adalah memilih pemain dan membentuk pasukan yang mampu memberi saingan kepada pasukan lain walaupun ada pihak yang mempertikai mengenai kehadiran saya di sini, saya menganggap ia perkara biasa dalam bola sepak," katanya.

Zainal Abidin berkata, fokusnya kini menilai pemain termasuk yang akan dibawa masuk namun tugas pertamanya ialah meneliti laporan semua pemain sedia ada dan kemungkinan hanya lapan hingga sepuluh pemain dalam skuad terdahulu dikekalkan.

"Ia termasuk Khairul Fahmi Che Mat yang telah menunjukkan prestasi mengagumkan dan saya gembira beliau masih memilih untuk bersama Melaka United.

"Selain itu memang ada desas desus mengenai pelantikan saya bersama Melaka United dan saya dihubungi beberapa pemain dari pasukan lebih baik  yang berminat untuk menyertai pasukan ini tetapi masih di tahap perbincangan," katanya. – Bernama