JANG TERPAKSA BERPUTIH MATA

Sabtu, 13 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

SEREMBAN: Hasrat pasukan Negeri Sembilan untuk mara ke Liga Super semakin tipis apabila tewas kepada PDRM 2-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Mereka sama sekali gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, untuk mencipta kemenangan yang amat diperlukan.

Skuad Jang terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-31 menerusi gol sendiri pemain PDRM, Uche Ogba.

Sepakan percuma Dzulfahmi Abd Hadi telah dibias ke dalam gawang untuk memberikan gol pertama kepada Negeri Sembilan.

Pihak lawan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, apabila Uche Ogba menjaringkan gol pada minit ke-34 perlawanan.

Pemain import berasal dari Nigeria itu menebus kesilapannya, dengan menanduk bola ke dalam gawang tuan rumah.

Tamat separuh masa pertama, Negeri Sembilan 1 PDRM 1.

Memasuki babak kedua, Skuad Jang mempamerkan watak berbeza apabila beberapa kali menguji kekebalan The Cops.

Hasilnya pada minit ke-69, anak-anak buah Mohd Zan Mat Aris kembali mendahului dengan jaringan 2-1.

Pertahanan PDRM gagal melakukan clearance hasil sepakan percuma Shunsuke Watanabe.

Peluang ini diambil oleh Dzulfahmi Abd Hadi untuk mencetak gol menerusi rembatan yang mencari bottom corner.

Namun skuad kendalian E Elavarasan ini bangkit semula untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-84.

Pemain dari Korea Selatan, Lee Changhoon menjaringkan gol kedua PDRM menerusi compose finished.

Lee Changhoon kemudian memberikan tiga mata penuh buat The Cops pada minit ke-94, hasil sepakan percuma.

Skuad Jang kini menempuh laluan berliku untuk ke Liga Super 2020.

Mereka mesti menang ke atas UiTM minggu depan, sambil mengharapkan PDRM tewas kepada Pulau Pinang.