ACE BANTU AHLI GABUNGAN FAM

Selasa       13 November 2018          

13 nov 2-1.jpg

SELANGOR: Ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membuat permohonan untuk menerima geran dan bantuan kepakaran urus tadbir serta teknikal daripada badan induk berkenaan bermula tahun depan, menerusi Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE).

Projek ACE yang dilancarkan semalam terbahagi kepada tiga teras - Pengurusan dan Pentadbiran, Pembangunan Bola Sepak dan Pembangunan Pertandingan, bertujuan memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal dan pembangunan pertandingan kepada anggota gabungan.


Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata projek itu selaras dengan Pelan Hala Tuju FAM 2019-2030 (F:30) yang menitikberatkan pemerkasaan anggota gabungan agar mereka mampu bergerak seiring dengan badan induk

berkenaan dalam mewujudkan ekosistem menyeluruh.

"Projek ini menyediakan khidmat sokongan dan bantuan dari segi urus tadbir seperti pengurusan kewangan, perundangan, pemasaran dan penajaan, media dan komunikasi, pembangunan kelab penyokong serta program tindik di FAM.

"Selain itu, ia termasuk juga penilaian teknikal menerusi kursus kejurulatihan dan penyediaan peralatan dan bengkel berkaitan sistem pengurusan liga dan pertandingan berasaskan elektronik serta dana untuk penganjuran liga negeri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama presiden dan anggota gabungan FAM, di sini semalam.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, serta presiden dan wakil dari 20 anggota gabungan FAM.

Hamidin berkata perjumpaan itu juga bertujuan berkongsi visi dan misi ke arah memastikan pemegang taruh utama memahami tuntutan di sebalik pelancaran F:30 pada 31 Oktober lalu.

Mengulas lanjut mengenai ACE, Hamidin berkata projek itu ditawarkan kepada semua anggota gabungan FAM, dan mereka dikehendaki memenuhi beberapa syarat, termasuk penyediaan pelan strategik, bajet dan kertas kerja mengikut projek.

"Tiga teras ini menjadi fokus FAM kerana jika anggota gabungan kukuh, maka utuhlah FAM. Memperkasa anggota gabungan sekali gus memperkasa FAM.

“Projek ACE juga mencerminkan kesungguhan FAM mencontohi amalan urus tadbir terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya. – Bernama