MENANG KE ATAS LAOS LONJAK SEMANGAT HARIMAU MALAYA

Selasa       13 November 2018          

13 nov 1-1.jpg

KUALA LUMPUR: Kemenangan kedua skuad Harimau Malaya ke atas Laos dalam saingan Kumpulan A Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2018 melonjakkan semangat barisan anak buah Tan Cheng Hoe, sebelum bertandang ke Hanoi, Rabu ini, bertemu Vietnam.

Cheng Hoe berkata kejayaan pemainnya mengutip tiga mata penuh pada aksi malam ini begitu berharga dan menjadi tonik terbaik bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Pemain pada hari ini menunjukkan semangat juang tinggi. Walaupun kita ketinggalan seawal minit ketujuh, mereka tidak putus asa dan terus memburu gol.

“Begitu juga pada perlawanan bertemu Vietnam nanti, kami tidak akan bermain secara bertahan selama 90 minit,

tetapi kami akan mempamerkan corak permainan menyerang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kebangsaan cemerlang menewaskan pasukan pelawat 3-1 menerusi dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha, dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak manakala gol tunggal Laos dijaringkan Phitchak Kongmathilath.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Norshahrul berkata kemenangan dilakar pasukan kebangsaan itu hasil kerjasama rakan sepasukan dan corak taktikal jurulatih yang menjadi.

“Percaturan jurulatih memasukkan tiga pemain, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Ahmad Hazwan Bakri pada separuh masa kedua berjaya menggerakkan bahagian serangan dan memberi masalah kepada pasukan lawan.

“Kami agak bergelut pada awal permainan tetapi selepas rehat kami banyak melakukan serangan dan akhirnya berjaya menyumbat dua gol penting,” katanya.

Penyerang Pahang itu turut berharap rakan sepasukan dapat menjaringkan gol pada perlawanan akan datang dan mahukan penyerang muda negara, Muhammad Akhyar dan Muhammad Safawi Rasid membantu di bahagian jentera serangan negara.

Malaysia akan berkunjung ke Vietnam bagi perlawanan ketiga di Stadium Nasional My Dinh pada 16 Nov ini, dan seterusnya bakal melayan kunjungan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 24 November. – Bernama