KIMBERLY TEKAD PERBAIKI TEKNIK

Ahad       11 November 2018          

11 nov 2-1.jpg

KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara, Kimberly Bong percaya masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya dari segi teknik terjunan walaupun berjaya meraih pingat perak acara 3 meter (m) papan anjal wanita pada Kejohanan Terjun Grand Prix Kuala Lumpur, semalam.

Atlet berusia 16 tahun dari Sarawak itu hanya ketinggalan 25.70 mata berbanding pemenang pingat emas, Ma Tong dari China, apabila merekodkan 262.25 mata daripada lima terjunan manakala pingat gangsa menjadi milik penerjun Australia, Kate Rosman dengan 234.40 mata.

Pemenang pingat gangsa acara 10m platform wanita pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berkata, kejohanan kali ini merupakan prestasi terbaiknya musim ini, namun masih ada ruang untuk peningkatan prestasi.

"Terjunan untuk 3m papan anjal kali ini ada peningkatan, lebih bagus daripada aksi sebelum ini. Saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini,” katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam.

Selain pingat perak, Kimberly turut meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada Jumaat.

Kimberly yang dijadual bergandingan dengan Traisy Vivien Tukiet dalam acara 10m platform seirama wanita, bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada bertanding pada kejohanan itu ekoran kecederaan tangan dialami Traisy – Bernama