MOZAI FT JUARA RAJA FUTSAL MALAYSIA

Ahad       11 November 2018          

11 nov 1-1.jpg

SHAH ALAM: Mozai FT mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya muncul juara Kejohanan Raja Futsal Malaysia 2018 selepas menumpaskan TJJ FC 3-1 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai paling besar dalam sejarah penganjuran sukan berkenaan, RM100,000.

Aksi Grand Final itu berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic selepas tamat pusingan peringkat negeri membabitkan 860 pasukan sejak tiga bulan lalu.

Pemburuan gelaran juara sulung itu berpihak kepada Mozai FT apabila hatrik yang dilakukan Helmi Mahyuddin Iskandar membolehkan pasukan dari Pahang itu menjulang trofi kejohanan anjuran Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi).


"Memang kami tidak jangka dapat muncul juara. Pagi tadi

selepas tiba di sini kami lihat pelbagai nama besar dalam arena futsal di Lembah Klang turut beraksi di pusingan Grand Final. Bagaimanapun, disebabkan kerja sepasukan akhirnya kami berjaya muncul juara," kata Helmi, 30, yang turut meraih anugerah pemain terbaik final.

"Pasukan lawan dibarisi pemain muda, mereka masih bertenaga namun kami menggunakan pengalaman yang ada untuk menandingi mereka."

Mozai FT turut merangkul anugerah penjaga gol terbaik final menerusi Khaizal Asyraf Suhaimi.

Selaku naib juara, TJJ FC membawa pulang wang tunai RM20,000, manakala Bertam Ulu dan Jerro Tornado berkongsi tempat ketiga untuk membolehkan mereka meraih RM2,500 setiap pasukan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Pegawai Pemasaran Digi Telecommunications Sdn Bhd, Loh Keh Jiat bersama rakan penaja lain antaranya VIVO, Great Eastern Life, PUMA serta ERA. – Harian Metro