SKUAD PIALA MALAYSIA TERIMA PINGAT HARI INI

Sabtu       10 November 2018          

10 nov 2-1.jpg

PERAK: Ketua Jurulatih Pasukan Bola Sepak Perak bersama 28 pemain dan pegawai sukan dianugerahkan pingat sempena istiadat kedua darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Iskandariah, hari ini.

Mereka antara 296 individu yang disenarai sebagai penerima sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-62.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.


Penganugerahan itu dikurniakan atas kejayaan skuad

The Bos Gaurus menjulang Piala Malaysia 2018, 27 Oktober lalu.

Seramai 25 pemain dan tiga pegawai sukan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala ketua jurulatih, Mehmet Durakovic dianugerahkan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Senarai pemain yang menerima PJK ialah Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri; Amirul Azhan Aznan; Brendan Gan Seng Ling; Gilmar Jose Da Silva; Hamizul Izaidi Zulkifli; Kenny Pallarj; Khairul Amri Salehuddin; Khairul Asyraf Sahizah; Leandro Dos Santos.

Turut menerima, Mohamad Idris Ahmad;  Mohammad Nasrullah Abdul Aziz; Mohd Hafiz Kamal; Mohd Nazrin Mohd Nawi; Mohd Nizad Ayub; Mohd Nor Hakim Hassan; Mohd Rafiuddin Roddin; Muhammad Firdaus Saiyadi.

PJK turut dikurniakan kepada Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy; Rafiq Faezz Muhammad Fuad; Muhammad Rizal Che Aziz; Muhammad Syazwan Zaipol Bahari; Nazirul Naim Che Hashim; Shahrul Mohd Saad; K Shatiya dan Wander Luiz Junior.

Pegawai pasukan yang disenaraikan ialah Roslan Khan Md Sharif; VD Sam Pakiaraj dan S Vijay Babu.

Perak muncul juara Piala Malaysia dalam tempoh 18 tahun selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan penalti dalam aksi final di Stadium Shah Alam.

Selain Durakovic, Sultan Nazrin turut mengurniakan darjah AMP kepada bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee dan atlet memanah kebangsaan, Mon Redee Sut Txi serta 63 penerima lain.

Dalam istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada enam individu iaitu Ahmad Nazri Husain, Kolonel Falulin Senan, Kolonel Hamdan A Samad, Jayah Said, Prof Ir Dr Muhammad Azmi Ayub dan Zamari Mohd Ramli.

Turut dikurniakan  Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 23 individu, turut menerima Ahli Lembaga Pengarah Al Ikhsan Sports, Ikbal Salam.

Baginda turut mengurniakan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 15 penerima termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias.

Sementara itu, 72 individu dikurnia Pingat Pekerti Terpilih (PPT) antaranya jurukamera Astro Awani, Stanley Nelson Savariar, seramai 109 lagi dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) manakala lima penerima untuk Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).

Terdahulu, majlis dimulakan dengan Istiadat Menghadap Selepas Menjunjung Duli oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr Afifi Al-Akiti bersama ahli keluarga yang sebelum ini dimasyhurkan sebagai pembesar negeri.

Istiadat menghadap sembah selepas menghilangkan diri oleh pembawa gelaran itu dilakukan ibarat melepaskan pantang yang terikat pada penyandang gelaran.

Pada 4 November lalu, Afifi dimasyhurkan sebagai Orang Besar Delapan yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

Pada istiadat permasyhuran itu, beliau perlu menghilangkan diri selama tujuh hari dari negeri Perak dan kembali semula menghadap Sultan Perak menandakan istiadat selesai.

Istiasat Menjunjung Duli itu melambangkan sumpah kesetian seseorang penyandang gelaran kepada Raja Pemerintah Negeri yang disempurnakam oleh penyandang gelaran membabitkan bakal Sultan, Raja Bergelar, Orang Besar Empat, Orang Besar Delapan, Toh Muda Orang Besar Empat, Toh Muda Orang Besar Delapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua. – Sinar Harian