JANG BENAM JDT II DI LAMAN SENDIRI

Rabu, 10 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila menundukkan JDT II 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong, Skuad Jang terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi jaringan Jose Almir Barros Neto pada minit ke-11.

Namun, pasukan JDT II menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang disempurnakan Md Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-28 perlawanan.

Bersambung babak kedua, Skuad Hoben Jang Hoben mempamerkan aksi lebih garang untuk merobek kubu pasukan pelawat.

Gol dicari pasukan tuan rumah akhirnya diperoleh dalam situasi dead ball, apabila mereka diberi sepakan percuma pada minit ke-62.

Rembatan kencang Matheus Fernandes Vila Real dari jarak kira-kira 40 meter, hanya mampu diperhatikan penjaga gol lawan.

Igor Carneiro Luiz kemudian menambah derita skuad bimbingan Ervin Boban pada minit ke-86, apabila menjaringkan gol ketiga untuk Negeri Sembilan.

Mengulas keputusan diraih, Mohd Zan Mat Aris berkata, kemenangan itu cukup penting bagi pasukan Negeri Sembilan.

"Kita mahukan kemenangan, itu sasaran kita. Tiga mata penuh ini dapat hidupkan peluang lebih cerah untuk kita ke Liga Super.

"Walaupun pasukan lawan cuba ubah corak permainan, tapi tak menghalang kita. Semuanya hasil kesungguhan ditonjolkan setiap pemain," katanya.

Menurutnya dengan berbaki lagi dua perlawanan menentang PDRM dan UiTM FC, diharapkan para pemain dapat memberikan aksi lebih baik agar Skuad Jang kembali ke Liga Super.