SEREMBAN MUNCUL JUARA KRIKET BAWAH 12 KEBANGSAAN

Isnin, 7 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/1

KUALA LUMPUR: Pasukan kriket bawah 12 tahun Seremban merangkul kejuaraan Kriket Elit Bawah 12 Peringkat Kebangsaan di Bayuemas Oval, Klang, semalam.

Pasukan Seremban yang dibarisi pelajar Sekolah Kebangsaan King George V (SKKGV) dan Sekolah Kebangsaan Bukit Rokab Utara (SKBRU), berjaya menewaskan finalis tahun lepas, Machang dengan kemenangan tipis empat larian.

Pengarah Kejurulatihan Seremban, Encik Azman Ahmad Tajri berkata, mereka berjaya menguasai awal permainan dengan mengeluarkan ramai pemukul harapan pasukan lawan, meskipun sekadar meletakkan sasaran 76 larian sahaja.

"Apabila lima pemukul utama Machang dipulangkan ke astaka, kami dapat rasa peluang sudah terbuka.

"Kami menang kerana sikap tak pernah mengaku kalah sehingga perlawanan berakhir," katanya.

Menurutnya, tangkapan kemas dan ketepatan ketika sesi memadang merupakan faktor pelengkap untuk Seremban meraih gelaran juara buat kali kedua.

"(Seremban) pertama kali muncul juara pada tahun 1999 di bawah kendalian guru ternama, MF Thevaratnam. Itu merupakan kejuaraan bersama dengan Kuala Langat. Dulu mereka bersaing atas nama SKKGV," katanya.

Turut hadir adalah Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sebagai rekod, dua pemain pasukan Seremban, Aalif Shamsul Bahrin dinobatkan Pemain Terbaik Kejohanan manakala Nabil Yusri muncul Pemain Terbaik Babak Akhir.