NS ANTLERS SELESA DIANGGAP 'UNDERDOG'

Jumaat, 06 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/4

SEREMBAN: Negeri Sembilan Antlers turun beraksi di Piala Sumbangsih Liga Sepak Takraw (STL) 2019 sebagai pasukan bukan pilihan apabila menentang juara Liga Premier tiga tahun berturut-turut, Penang Black Panthers.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Encik Wan Mohd Husni Abdullah berkata, pasukannya lebih selesa dianggap 'underdog' berikutan menyedari prestasi pihak lawan.

"Insya-Allah, kita boleh boleh bersaing dengan baik, walaupun kita tahu (status) pasukan lawan sebagai pasukan pilihan dan juga juara Liga Premier tiga tahun berturut-turut," katanya.

Menurut Wan Mohd Husni, pasukannya telah menjalani latihan intensif sejak dua minggu lalu dan aspek kecergasan pemain diberi tumpuan dalam persiapan kali ini.

"Kita bawa masuk jurulatih kecergasan, sebab kita nampak ada kekurangan (daya) ketahanan pemain pada hujung perlawanan. Selalunya apabila sampai mata terakhir, kita buat kesilapan dan ini perlu diperbaiki," katanya.

Sebagai pendatang baharu dalam STL, katanya, mereka sekadar meletakkan sasaran untuk kekal dalam saingan tersebut selain mengintai peluang mara ke Piala Juara-Juara.

"Kita tak nak letak tekanan tinggi (kepada pemain) dan bonus untuk kita kalau dapat layak ke Piala Juara-Juara. Saya yakin barisan (pemain) ini boleh menghasilkan kejayaan buat Negeri Sembilan," katanya.

Negeri Sembilan Antlers diperkuatkan dengan kehadiran tekong import dari Thailand, Wirawut Na Nongkhai serta dua pemain kebangsaan, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Hafizul Hayazi Adnan.

Selain itu, lima bekas pemain kebangsaan terdiri daripada Mohd Syazreen Qamar Salehan; Mohd Hisham Mat; Mohad Nasiruddin Majur Ahmad; Mohd Nor Amizi Mohd Nordin dan Zuleffendi Sumari turut memperkuatkan pasukan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengenalan dan Pelancaran Pasukan Negeri Sembilan Antlers Sepak Takraw League (STL) 2019 di Klana Resort, di sini, semalam.

Perasmian telah disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani.

Perlawanan menemukan juara Liga Premier dengan juara Divisyen 1 musim lalu itu akan berlangsung di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di Kuala Lumpur jam 8 malam ini.

Sementara itu, Mohamad Taufek berkata, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM25,000 sebagai tanda sokongan kepada persatuan tersebut.

"Kita (Kerajaan Negeri) harap sukan ini akan terus berkembang dan dapat melahirkan ramai lagi pemain handalan dari Negeri Sembilan," katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Dato' Akramuddin Haji Abdul Aziz.