JANG BERMULA LANGKAH KIRI

Ahad, 4 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

SEREMBAN: Skuad Jang bermula dengan langkah kiri pada aksi pembuka tirai saingan Kumpulan A Piala Malaysia apabila tewas 1-3 kepada Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pasukan pelawat membuat kejutan seawal minit keempat, apabila Fernando Rodriguez Ortega menanduk masuk bola hantaran lintang Azammudin Mohd Akil.

Juara Piala FA itu mengukuhkan kedudukan pada minit ke-72, menerusi rembatan deras Muhammad Shakir Hamzah yang melepasi jangkauan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Negeri Sembilan bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-78, hasil jaringan Muhammad Ferris Danial yang bijak memanfaatkan umpanan Igor Carneiro Luiz. 

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama berikutan Kedah menerima sepakan penalti, apabila Matheus Fernandez Vila Real mengasari Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-83.

Penyerang import Kedah kelahiran Argentina, Jonathan Jesus Bauman dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut.

Haji Zaki Sheikh Ahmad yang memangku tugas Ketua Jurulatih Skuad Jang, jelas kecewa kerana gagal memulakan kempen Piala Malaysia musim ini dengan langkah kanan.

"Kita tak dapat jaringkan gol. Masalahnya terlalu lama (nak hasilkan gol).

"Selepas (pihak lawan) dah gol penalti, itu yang 'key-out'. Tapi kita akan cuba buat yang terbaik, insya-Allah," katanya.