DITUDUH CUBA BUNUH ANGGOTA TENTERA DI SEKATAN JALAN

Selasa, 31 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan BERNAMA

1/1

AYER KEROH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan cuba membunuh seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang. 

Mohd Haiqal Hamdan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Tertuduh yang merupakan pekerja kedai makan, didakwa melanggar Alexson Franky, 21, menggunakan kereta Proton Gen 2 warna merah.

Insiden itu didakwa berlaku ketika operasi sekatan jalan raya di hadapan pintu pengawal Kem Terendak, Sungai Udang pada 23 Mac lalu, jam 4.30 petang.

Impak perlanggaran itu mengakibatkan mangsa cedera pada bahagian kiri dan kanan paha, yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sekiranya terbukti bersalah.

Selain itu, Mohd Haiqal juga didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan diri apabila diperiksa pegawai polis di Jalan Klebang Kecil pada 24 Mac lalu, jam 3 petang.

Jika sabit kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat tambahan, di mana ibunya perlu menjadi penjamin.

Sebutan semula kes pula ditetapkan oleh mahkamah pada 18 Mei depan.

Kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, S S Amritpal Singh.

Dalam prosiding berasingan pula, Mohd Haiqal dan teman wanitanya, Norsyazlina Mohd Asri, 21, dijatuhi hukuman penjara sebulan berikutan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan.

Majistret, Teoh Shu Yee menetapkan hukuman itu, selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh.

Mereka telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan semasa sekatan jalan raya di hadapan pondok pengawal Kem Terendak, Sungai Udang, tanpa alasan munasabah pada 24 Mac lalu.

Kedua-duanya melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.