TIGA BOT NELAYAN ASING DILUPUSKAN

Isnin, 27 Julai 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Facebook MAFI

1/4

KOTA BHARU: Sebanyak tiga buah bot rampasan membabitkan nelayan asing telah dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan.

Pelupusan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Kelantan, YB Dato' Haji Che Abdullah Mat Nawi dalam satu program di perairan Kuala Besar, di sini, semalam.

Menurut beliau, bot-bot yang telah dilucuthak di bawah Akta Perikanan 1985 itu ditenggelamkan di kawasan lingkungan lima batu nautika dari persisiran pantai.

"Bot-bot yang ditenggelamkan ini akan menjadi tukun tiruan bagi tujuan pemuliharaan sumber stok ikan, di samping dapat mengelakkan berlakunya pencerobohan pukat tunda," katanya.

Untuk rekod sehingga Julai 2020, sebanyak 13 buah bot rampasan melibatkan nelayan asing telah dilupuskan.

Turut sama dalam program itu adalah Timbalan Pengerusi JK Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, YB Abdul Azziz Kadir; Pengarah Institut Sumber Marin Asia Tenggara, YM Raja Bidin Raja Hassan dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Nazri Ishak.