KONVOI KUMPULAN TEMPUR TDM KE LAHAD DATU

Jumaat, 24 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Foto: Facebook Tentera Darat Malaysia

1/5

SEMPORNA: Konvoi Kumpulan Tempur Tentera Darat Malaysia (TDM) yang berlangsung selama tiga hari di sini, akan menyambung pergerakan menuju ke destinasi ketiga iaitu Lahad Datu.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Sabah, Tuan Haji Hasbullah Dato' Haji Raudah yang menyerahkan Cokmar Konvoi kepada Panglima Briged Ke-13 Infrantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abd Razak Hussain.

Cokmar itu kemudiannya diserahkan kepada Ketua Konvoi, Mejar Muhammad Thaib Kamarul Bahrin di pekarangan tapak pameran aset dan promosi TDM sebagai simbolik perasmian Pameran Ketenteraan.

Pelbagai aktiviti telah diatur oleh TDM seperti pameran aset; kenderaan dan persenjataan Tentera Darat; pertunjukan payung terjun; pameran kerjaya dan sebagainya.

Selain itu, sebanyak empat projek Jiwa Murni dilaksanakan seperti gotong-royong membaiki dua buah masjid dan sebuah sekolah; projek membaik pulih sebuah rumah uzur dan sukan rakyat bersama masyarakat setempat.

Ini bersesuaian dengan tema iaitu "Tentera Darat Bersama Rakyat Sedia Sebilang Masa", sempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-87.

Kesemua projek berkenaan dijayakan oleh 30 anggota TDM daripada pasukan Skuadron Kelima, Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 RAJD).

Kira-kira 5,000 pengunjung membanjiri Dewan Masyarakat Semporna seawal jam 7.30 pagi bagi menyaksikan kemeriahan pameran tersebut.