WUJUDKAN MPKKP DI LIMA NEGERI

Selasa, 21 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hssrol

1/1

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan bersetuju mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima negeri, bagi membolehkan rakyat di situ mendapat maklumat lebih tepat mengenai dasar kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Seri Rina Mohd Harun berkata, negeri terbabit adalah Kelantan; Terengganu; Pahang; Perlis dan Sarawak.

Menurutnya, MPKKP itu adalah penambahbaikan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang wujud sejak Oktober 2018.

"Diharapkan dengan penubuhan MPKKP ini, dapat bertindak sebagai ejen perubahan penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat mengenai dasar kerajaan Pakatan Harapan.

"Kerajaan mahu (maklumat) sampai ke peringkat akar umbi dengan lebih jelas melalui seluruh anggota jawatankuasa MPKKP berbanding sebelum ini," katanya.

Diminta mengulas mengenai penubuhan MPKKP yang seakan menyamai MPKK ditubuhkan kerajaan PAS Kelantan, Rina berkata, tiada pertindihan berlaku kerana penubuhan oleh Kerajaan Persekutuan tidak sama dengan Kerajaan Negeri.

"Terdapat 13 ahli dalam MPKKP di setiap kampung dan ini merupakan penambahbaikan terutama dalam merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama.

"Sebelum ini, kita lihat penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat mempunyai sedikit kelemahan. Oleh itu, penambahbaikan ini dibuat.

"Majlis ini akan bantu kerajaan Persekutuan di negeri berkaitan untuk merancang pembangunan di peringkat kampung; salurkan maklumat keperluan pembangunan masyarakat kampung kepada Kerajaan Persekutuan dan merancang serta melaksanakan program di kampung melalui permohonan geran yang disediakan.

"Kerajaan Persekutuan bersedia mendengar permasalahan rakyat dan setiap masa kita perlu kepada penambahbaikan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada MPKKP Negeri Kelantan, di sini, semalam.

Seramai 693 ahli MPKKP menerima watikah pelantikan dalam majlis tersebut.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang juga Penyelaras MPKKP negeri Kelantan, Dato' Sazmi Miah dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang juga Pengerusi PH Kelantan, Dato' Haji Husam Musa.