LELAKI TERJUN JAMBATAN DITEMUI MATI

Rabu, 19 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan APMM

1/2

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang dipercayai terjun dari Jambatan Pertama Pulau Pinang di KM 7.4 arah Pulau menghala ke Perai, di sini, semalam, ditemui mati oleh pasukan penyelamat semasa Operasi Carilamat (SAR).

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun, MRSC Langkawi telah menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan ternampak mayat terapung di bawah Jambatan Pulau Pinang, sekitar tempat kejadian.

"Sejurus mayat mangsa ditemukan, ia terus dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk pengecaman dan identiti telah disahkan oleh adik mangsa. 

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Sungai Nibong untuk dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pasukan keselamatan yang terlibat dalam Operasi SAR ini termasuk Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM) Pulau Pinang. 

Untuk rekod, operasi SAR telah bermula sekitar jam 1 petang semalam sejurus mendapat panggilan kecemasan dari orang ramai.