NELAYAN VIETNAM MAUT DITEMBAK AKIBAT BERTINDAK GANAS

Isnin, 17 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan APMM

1/4

PASIR PUTIH:  Seorang nelayan Vietnam maut ditembak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, dalam satu cubaan untuk melepaskan diri daripada diperiksa.

Mangsa bersama 18 nelayan Vietnam lain telah bertindak ganas dengan merempuh dan melempar bom diesel ke arah bot APMM, hingga mengakibatkan bahagian atas bot Penyelamat 7 mengalami kerosakan.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, tindakan nekad nelayan Vietnam itu telah mengancam keselamatan nyawa anggota serta mencabar kedaulatan undang-undang negara ini. 

"Kedegilan mereka mengakibatkan anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan aset kerajaan dan anggota Maritim Malaysia.

"Kedua-dua bot akhirnya ditahan pada jarak lebih kurang 81 batu nautika atau 150 kilometer daripada Muara Tok Bali dalam keadaan laut bergelora semalam," katanya.

Menurut Muhd Nur Syam Asmawie, KM Tok Bali dan Bot Penggalang 18 turut digerakkan untuk memberi bantuan dalam insiden berkenaan.

Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, didapati awak-awak Vietnam yang cedera parah telah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut. 

"Kedua-dua bot tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta terhadap tekong dan RM600,000 terhadap awak-awak.

"Akta lain diguna pakai adalah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambah beliau, pihak maritim juga akan menyiasat dan menuduh awak-awak di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot; hasil tangkapan dan diesel dianggarkan bernilai lebih kurang RM2 juta," katanya.