STRAW SERAI BAKAL DIGUNAKAN DI KAFE HOSPITAL

Rabu, 15 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hssrol

1/2

PASIR MAS: Penggunaan serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke kafe hospital bagi menggantikan straw plastik, termasuk kepada pesakit.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Dato' Haji Husam Musa berkata, pihaknya bersedia membekalkan tanaman serai kepada pihak yang ingin menyahut saranan itu.

Menurutnya, penggunaan penyedut minuman berkenaan merupakan sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, penggunaannya diwajibkan di semua kafe KADA.

“Tanaman serai ada 27 jenis dan bagi penggunaan sebagai penyedut minuman, serai buluh lebih sesuai.

“Kita akan majukan penggunaannya kepada kafe Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada untuk kegunaan orang ramai atau pesakit sendiri kerana ini bahan semula jadi.

“Tanamannya akan diperbanyakkan di sepanjang tebing tali air KADA dan lebih 10,000 rumpun sudah ditanam di Kampung Padang Halban,” katanya.

Mengulas lanjut, Husam berkata, beliau akan membuat surat rasmi kepada pihak HUSM, Kubang Kerian bagi menyatakan tujuan cadangan itu dalam masa terdekat memandangkan bekalan serai yang banyak.

“Bagi pencinta alam sekitar, inisiatif serai sebagai penyedut minuman amat bagus kerana dapat mengurangkan penggunaan bahan plastik,” katanya kepada pemberita di Ladang Merdeka Senor, di sini, hari ini.