NTEP WUJUD LEBIH 11,000 PELUANG PEKERJAAN

Rabu, 15 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hssrol

1/6

SUNGKAI: Lebih 11,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui program NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) sebagai insentif untuk menarik pelaburan swasta serta mengatasi isu graduan menganggur di Perak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program berkenaan membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup graduan serta memastikan tenaga kerja mahir yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri di Wilayah Koridor Utara.

"NTEP antara empat program modal insan dilancarkan hari ini (semalam) yang disasarkan khusus bagi golongan belia: wanita; graduan; penganggur; usahawan mikro; Orang Asli terutamanya daripada golongan B40," katanya.

Selain NTEP, Ahmad Faizal turut melancarkan tiga lagi program modal insan anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) iaitu program empowerNCER@Perak; entrepreneurNCER@Perak dan Dana Mudahcara Bumiputera (DMB) yang dirangka khas bagi menangani jurang kemahiran serta membasmi kemiskinan secara holistik dan inklusif di wilayah ini.

Menurutnya, program empowerNCER@Perak melalui komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan memberi kemahiran asas dan latihan dalam pelbagai bidang seperti kulinari dan pemprosesan makanan sejuk beku; bakeri dan pastri; baik pulih elektrik dan penghawa dingin; jahitan; dandanan rambut lelaki; spa kecantikan dan lain-lain.

"Bagi memperkasakan program empowerNCER, institusi pendidikan tinggi di Perak akan dilantik untuk menjalankan kelas bimbingan dan kursus pembangunan sahsiah khas untuk pelajar; guru dan ibu bapa yang terlibat.

"Melalui program empowerNCER-MyKasih pula, sekolah terpilih akan dibekalkan dengan peralatan Teknologi Maklumat (IT) terkini dan peralatan robotik, para pelajar akan lebih seronok dan berminat untuk belajar subjek Sains; Teknologi; Kejuruteraan dan Matematik atau STEM secara kreatif dan interaktif.

"Saya dimaklumkan kursus khas juga akan dirangka bagi pembangunan modal insan dan mengingkatkan kemahiran masyarakat Orang Asli bagi menambah pendapatan menerusi aktiviti ekonomi mampan, termasuk aktiviti untuk memajukan industri ekopelancongan berasaskan komuniti; kampung dan sumber sedia ada," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, NCIA turut menyediakan program entrepreneurNCER@Perak bagi membantu usahawan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya di kawasan luar bandar dengan cara memberi khidmat bimbingan kepada usahawan serta memupuk kerjasama strategik bersama bank terpilih bagi menyediakan bantuan pembiayaan mudah atau 'soft loan'.

"Bagi usahawan bumiputera, NCIA juga memberi sokongan berbentuk kewangan sebagai pemangkin kepada syarikat mereka dalam pelaksanaan projek melalui program DMB," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program-Program Modal Insan: Menyemarakkan Kemakmuran, Memperkasakan Rakyat Peringkat Negeri Perak di Institut Latihan Statistik Malaysia, di sini, semalam.