PERZIM SASAR 1 JUTA PENGUNJUNG

Sabtu, 15 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

MELAKA: Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menyasarkan satu juta pengunjung bakal melawati muzium di Melaka pada tahun ini.

Pengurus Besar, Dr. Mohd Nasruddin Rahman berkata, sasaran itu diletakkan berdasarkan jumlah kedatangan pelancong yang mencecah hampir 890,000 orang pada tahun lepas.

"Jika dilihat (pada) tahun 2018, jumlah pelancong yang mengunjungi muzium (mencatat) seramai 800,000 orang. Manakala tahun lalu kita mencatatkan peningkatan yang lebih baik.

"Justeru, tahun ini kita harap sasaran sejuta pengunjung itu dapat dicapai menerusi promosi kita (buat) di beberapa negara seperti Indonesia; Thailand dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Soft Launch Pameran Fotografi ‘Ceritalah’ di Bastion House, tempoh hari.

Dalam pada itu, Nasruddin berkata, sebanyak 115 hasil karya fotografi daripada jurugambar profesional, Nazri Sulaiman dan jurugambar telefon pintar, Zaini Arif (Izani) dipamerkan di pameran tersebut.

“Selepas ini akan ada lagi lima pameran yang bakal dilancarkan, sekali gus menarik jumlah kedatangan pelancong ke muzium di negeri ini,” katanya.