TVET PERLU JADI PILIHAN UTAMA PELAJAR

Jumaat, 14 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

BAGAN DATUK: Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu menjadi pilihan utama pelajar pada masa kini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, YB A Sivanesan berkata, kemahiran dan kepakaran dalam bidang berkenaan amat diperlukan sebagai persediaan menuju sebuah negara maju.

“Sekiranya anak-anak tak berjaya dalam bidang pelajaran, ini bukanlah alasan untuk (terus) tak berjaya kerana kerajaan dah beri penekanan kepada TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Pergam Kali ke-38, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan ibu bapa dalam mencorakkan masa depan anak-anak.

Katanya, biarpun sesebuah sekolah itu berada dalam kawasan pedalaman, ia bukan penghalang bagi seseorang itu untuk berjaya dalam apa jua bidang.

“Kita sebagai ibu bapa mestilah mainkan peranan untuk mendidik mereka (anak-anak), tak boleh harapkan guru saja.

“Yakinlah, anak-anak kita mampu berjaya sekiranya kita memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Sivanesan mengumumkan peruntukan khas bagi mengubah suai bilik untuk kemudahan seorang guru kelainan upaya (OKU) yang mengajar di sekolah itu.