DUA NELAYAN HILANG DITEMUI SELAMAT

Rabu, 12 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

1/3

LUMUT: Dua nelayan ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan tempatan dari Pantai Remis, semalam, selepas tiga hari operasi pencarian dilancarkan Maritim Malaysia Negeri.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kehilangan Lim Ah Che Ong, 51, dan Teong Leng Huat, 52, berpunca apabila bot dinaiki kehabisan minyak lantas hanyut selama tiga hari.


"Sejurus menerima laporan penemuan bot fiber, sebuah bot KILAT 30 dari Zon Maritim Kuala Kurau bergegas ke lokasi dengan membawa bekalan minyak dan telah menemui dua nelayan yang dilaporkan hilang di lokasi berkenaan.
 

"Sejak dilaporkan hilang pada 8 Ogos lalu, kita telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di sekitar sektor CARILAMAT dengan mengatur gerak aset Kapal Maritim (KM) Tugau yang menjangkau sehingga 130 batu nautika persegi dari Pantai Remis," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Shahrizan turut memaklumkan bahawa Operasi CARILAMAT tersebut turut dibantu oleh beberapa bot nelayan tempatan.
 
“Mangsa dan bot diiring ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk pemeriksaan kesihatan.

"Berikutan penemuan mangsa terbabit, Operasi CARILAMAT ditamatkan," katanya.