PERAK CATAT 30 KES DEMAM CHIKUNGUNYA

Ahad, 12 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/2

IPOH: Sebanyak 30 kes demam chikungunya dilaporkan di Perak pada awal tahun ini sehingga Rabu lepas membabitkan 17 lokaliti.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming, bagaimanapun tiada kematian dilaporkan berlaku disebabkan demam Chikungunya di lokaliti terbabit.

 

"Enam daripada 17 lokaliti adalah di daerah Batang Padang iaitu Pekan Temoh; Pekan Tapah; Pekan Tapah Road; Kampung Baru Chenderiang; Kampung Baru Coldstream dan Taman Megah Bidor.

"Lima lokaliti wabak adalah di daerah Larut Matang dan Selama iaitu Pokok Assam Zon 2; Taman Assamara; Taman Juta; Taman Lela dan Kampung Assam Kumbang.

"Daerah Kampar melibatkan tiga lokaliti iaitu KB Kopisan; Estat Hong Chan dan KB Malim Nawar manakala di daerah Kuala Kangsar terdapat tiga lokaliti iaitu Taman Tun Sambanthan A; Taman Tun Sambanthan B dan Taman Tun Sambanthan C," katanya.

Pada masa sama, Dr Ding menjelaskan bahawa setakat ini tiada kes Chikungunya dilaporkan di Kampung Padang Asam, Padang Rengas seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

"Hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di semua lokaliti wabak aktif di Negeri Perak mendapati, punca utama kejadian adalah kerana indeks pembiakan aedes tinggi di lokaliti tersebut.

"Antara tempat pembiakan nyamuk ditemui adalah di longgokan sampah sarap; lot kosong terbiar; rumah kosong tidak berpenghuni; longkang yang tidak diselenggara dengan baik serta tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan di luar rumah," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ding berkata, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 163 kompaun dan 67 notis pembersihan fi bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak aedes.

"Kita turut laksanakan aktiviti larvaciding; Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di negeri ini.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran di sekeliling kawasan tempat kediaman dan segera melakukan aktiviti pembersihan kawasan, serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah.

"Sekiranya mengalami demam, segeralah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan terdekat.

"Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi KKM berkenaan situasi semasa penyakit denggi dan chikungunya, serta membuat semakan kesahihan berita terlebih dulu sebelum berkongsi di media sosial," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.