PASAR HARAPAN BUKA RUANG REZEKI USAHAWAN TEMPATAN

Ahad, 12 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SLIM RIVER: Pasar Harapan Usahawan Slim River anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kurnia diwujudkan bagi membuka ruang rezeki kepada usahawan tempatan.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad (PCB), Dato' Mohamed Azni Haji Mohamed Ali, inisiatif itu dilaksanakan bagi menggalakkan lagi aktiviti perniagaan dalam kalangan masyarakat setempat.

"Ini satu inisiatif yang baik untuk menggalakkan anak muda atau warga tempatan berkecimpung dalam (bidang) perniagaan. 

"Saya dimaklumkan hampir 70 gerai yang ada di pasar ini. Jadi pengunjung ada banyak pilihan untuk dapatkan produk atau makanan pada harga berpatutan.
 

"Program seperti ini (dilihat) dapat menarik ramai pengunjung untuk datang ke Pasar Harapan. Mereka boleh lihat produk yang ada di setiap gerai yang ada (di sini)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Fiesta Gempak Sempena Ulang Tahun Pertama Pasar Harapan Usahawan di Tapak Pasar Harapan Usahawan Slim River, di sini, semalam.

Sementara itu, Penyelaras Dun Slim, Encik Mohd Amran Ibrahim berkata, Pasar Harapan juga diwujudkan bagi membantu usahawan mendapat tempat untuk berniaga.

"Kita bukan nak bersaing dengan pasar malam sedia ada, tapi kita nak bagi anak tempatan tempat (berniaga) sebab mereka banyak kekangan. Contohnya pembahagian lot (kawasan) berniaga.

"Jadi kita wujudkan (Pasar Harapan) sebab kawasan ini strategik, dekat dengan Plaza Tol Slim River. 

"Contoh, orang dari Kuala Lumpur ada singgah makan dan berehat di sini. Ada juga ibu bapa yang bawa anak keluar dari asrama pada hujung minggu. Jadi kita nampak macam itu (situasi semasa).

"Alhamdulillah, sambutan pun baik dan kita tengok yang berniaga ini pun terdiri daripada anak-anak tempatan. Itu yang penting," katanya.

Untuk makluman, Pasar Harapan Usahawan Slim River beroperasi pada hari Sabtu setiap minggu, bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam. 

Pasar itu terletak berhampiran Pasaraya Econsave dan Mr DIY Slim River.