OP BENTENG GAGALKAN CUBAAN PENYUSUPAN PATI

Khamis, 06 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto : Ihsan Tentera Darat Malaysia

1/5

BANDAR PENAWAR: Tentera Darat menerusi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) menggagalkan cubaan penyusupan pendatang asing tanpa izin (Pati) membabitkan lapan warga Indonesia pada jam 5 pagi tadi.

 

Pasukan 1 RRD telah bertindak berdasarkan maklumat melalui pengesanan radar Kenderaan Perisai (KP) GEMPITA, pasukan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD).

Pengesanan KP GEMPITA mendapati kehadiran bot yang bergerak laju dari Punggai menuju ke Desaru pada jam 3.30 pagi.

Susulan itu, anggota pos pemerhati telah melaksanakan serbuan dan berjaya menangkap seorang Pati yang baru turun dari bot berkenaan.

Pati terbabit bersembunyi di hutan berhampiran bersama lima Pati yang lain, dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke Indonesia.
  
Pada jam 5 pagi, kumpulan penggeledah pula telah berjaya membuat penangkapan ke atas dua lagi Pati yang bersembunyi di kawasan hutan lebih kurang 600 meter dari lokasi kejadian.

Keseluruhan tangkapan melibatkan lapan Pati terdiri daripada dua wanita dan enam lelaki berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun. 

Turut dirampas adalah 11 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM6,885 dan IDR7,506,000 (RM 2,168), menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM15 ribu.

Hasil rampasan dan kesemua tahanan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19.