DUA FERI PENUMPANG TIDAK PATUH SOP DITAHAN

Khamis, 06 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

1/3

PELABUHAN KLANG: Pasukan Maritim Negeri Selangor telah menahan dua feri penumpang pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari Tanjung Harapan, di sini, sekitar jam 5 hingga 6 petang pada Ahad lepas.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, dua feri penumpang dalam perjalanan dari Pulau Ketam itu telah ditahan oleh pasukan maritim yang sedang membuat rondaan bagi pemeriksaan rutin.

"Feri terbabit masing-masing membawa 119 penumpang berserta 3 kru, dan 124 penumpang berserta 3 kru.

"Didapati kedua-duanya telah melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan.
 

"Kedua-dua feri itu juga gagal mematuhi SOP penjarakan fizikal pengoperasian dalam tempoh PKPP, sebagaimana diumum oleh Kerajaan bagi mengelakkan penularan COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Dua feri berserta enam kru warga tempatan berumur antara 17 hingga 25 tahun yang ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Mohammad Rosli menegaskan, pihak maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan terutamanya melibatkan tindakan yang boleh menjejaskan aspek keselamatan dan akan terus menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan keselamatan nyawa di laut.