ETS, KOMUTER BERGESEL, SEORANG PENUMPANG CEDERA

Sabtu, 05 September 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan KTMB

1/3

KUANG: Sebuah kereta api elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang di sini.

Dalam kejadian lewat petang semalam, komuter terbabit dilaporkan dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar yang menuju ke Stesen KL Sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Dato' Ir Kamarulzaman Zainal berkata, seorang penumpang komuter dilaporkan cedera ringan dan 29 penumpang yang lain selamat.

"93 penumpang ETS lagi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.



 

"Mangsa yang cedera di tangan telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB, sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh. 

"Kesemua penumpang ETS yang terbabit juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya, untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Menurut Kamarulzaman, walau bagaimanapun satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain.
 
“Kita jangkakan akan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut.

"Kerja-kerja baik pulih di lokasi kejadian sedang giat dilakukan dan siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan mengenai siasatan itu," katanya.