OP BENTENG TUMPAS TEKONG DARAT, LAUT DAN PENDATANG ASING TANPA IZIN 

Selasa, 04 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Tentera Darat Malaysia

1/5

KOTA TINGGI: Tentera Darat melalui Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) telah menahan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Indonesia dan seorang tekong darat warga tempatan dalam satu operasi Op Benteng pada 2 Ogos, jam 10.30 malam.

Enam Pati terbabit dipercayai sedang menunggu bot untuk keluar dari Malaysia bersama seorang tekong darat warga tempatan di Persisiran Pantai Punggai, Bandar Penawar, di sini.

Hasil risikan dari penahanan Pati dan tekong darat tersebut, Kumpulan Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya menahan dua tekong laut warganegara Indonesia bersama sebuah bot berkapasiti satu enjin Yamaha 200 HP dipercayai untuk membawa Pati balik ke Indonesia.

Turut dirampas adalah tujuh telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,404 dan IDR4 juta, sebuah bot berserta enjin Yamaha 200 HP menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM147,344.

Kesemua tahanan yang berusia antara 25 hingga 52 tahun itu diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19.