21 PATI EMPAT TEKONG DITAHAN DALAM OP BENTENG

Rabu, 02 September 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Tentera Darat Malaysia

1/3

JOHOR: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta empat tekong telah ditahan dalam operasi Op Benteng di pesisir pantai Tanjung Lipat, Kota Tinggi, di sini.

Tangkapan dibuat oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dengan bantuan PDRM, kira-kira jam 5.40 pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) berkata, hasil risikan polis dan bantuan radar Kenderaan Perisai Gempita Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) berjaya mengesan pergerakan dua bot yang mencurigakan.

Bot terbabit dipercayai masuk ke perairan negara dengan tujuan untuk menurunkan dan mengambil Pati di pesisir pantai. 

"Serbuan dibuat terhadap sebuah bot yang sedang merapati pantai. Hasilnya, 21 individu disyaki Pati serta empat individu disyaki bertindak sebagai tekong laut berjaya ditahan.

"17 daripadanya membabitkan lapan lelaki dan sembilan perempuan adalah mereka yang ingin pulang ke Indonesia.

"Empat lagi lelaki pula didapati baru sahaja tiba di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, antara yang turut dirampas adalah sebuah bot fiber bersama tiga buah enjin berkapasiti 200 HP.

"Kesemua tekong dan Pati, serta barang rampasan telah diserahkan kepada pihak PDRM di lokasi untuk tindakan lanjut.

"Kawalan keselamatan di persisiran pantai akan terus diperketatkan, bagi memastikan perairan negara bebas dari sebarang bentuk pencerobohan dan penyeludupan," katanya.