SMK TUNKU SYED IDRUS TAMPIN JOHAN YESS

Khamis, 29 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/5

SEREMBAN: Rekaan Tengkolok Aromaterapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Syed Idrus membawa tuah apabila muncul sebagai pemenang konvensyen Young Entrepreneurs Strive For Success 2019 (YESS) peringkat negeri, baru-baru ini.

Empat pelajar tingkatan empat sekolah itu, Muhammad Qayyim Hadif Nazarmasagos, 16; Faiq Haqqimi Silahuddin, 16; Syifa' Husna Mohd Zahid, 16 dan Siti Nur Khairani Noor Hisham, 16, membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 berserta sijil penyertaan.

Guru pengiring, Mohd Rahimi A Rahman, 34, berkata, cetusan idea terhasil berikutan permasalahan bauan kurang selesa yang memberi tekanan kepada guru dan pelajar.

"Kami gabungkan dua aromaterapi dalam satu pewangi yang boleh dititiskan dalam potpuri tengkolok mini. (Guna) tengkolok sebagai produk menyokong aromaterapi, di samping ingin mendidik pengguna tentang sejarah kesultanan dan warisan Melayu.

"Rekaan ini mengambil masa dua bulan untuk disiapkan berikutan kekangan masa untuk buat produk dan berlatih kerana sibuk dengan aktiviti persekolahan. 

"Kami juga kena cari bahan mentah aromaterapi yang terbaik dan belajar buat lipatan tengkolok dengan yang asal," katanya.

Sementara itu Ketua Kumpulan, Faiq Haqqimi berkata, mereka melakukan uji kaji aromaterapi di makmal Melaka Biotechnology Corporation bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.

"Kami guna bahan mentah (untuk produk) seperti kain songket; alatan jahitan; kotak lut sinar; gam; picagari; manik; potpuri; botol 5 mililiter dan juga pelekat," katanya kepada NS Daily, di sini, tempoh hari.

Jelasnya demi melindungi jenama produk berkenaan, mereka mendaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) supaya tidak dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kejayaan itu membolehkan mereka mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada hujung September nanti.