WUJUDKAN BELIA CELIK MINDA MENERUSI SEKOLAH RUKUN NEGARA

Isnin, 29 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/5

SEREMBAN: Generasi muda merupakan penentu kepada kelangsungan sesebuah negara bangsa yang dinamik dan berprestasi tinggi.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan berperanan untuk memupuk serta menerapkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Justeru, satu pendekatan baharu dikenali sebagai 'Sekolah Rukun Negara' telah dilaksanakan untuk memberi penerangan dan mengukuhkan kefahaman berkaitan pendidikan kenegaraan berteraskan perlembagaan Malaysia.

Program Sekolah Rukun Negara Peringkat Negeri Sembilan telah dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan (JBSNS) dengan rekod penyertaan seramai 202 peserta berumur antara 14 hingga 25 tahun.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya Malaysia (APRM); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cawangan Latihan Khas (i-LEAD) KBS.


Para peserta diberi pendedahan berkaitan isu semasa seperti #UNDI18 yang membincangkan asas dan tanggungjawab sebagai pengundi di bawah slot Demokrasi Belia.

Slot Klik Dengan Bijak pula mengupas gaya hidup belia masa kini yang berkait rapat dengan media sosial melalui cara penggunaan media sosial yang tepat dan bermanfaat.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah JBSNS, Puan Junainie Mohamad di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi, di sini, semalam.