TUJUH KOPERASI SEKOLAH SERTAI YESS

Rabu, 28 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/5

SEREMBAN: Sebanyak tujuh koperasi sekolah menyertai Konvensyen Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) Peringkat Negeri Sembilan 2019.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Sembilan, Encik Abd Latib Talib berkata, ia melibatkan koperasi sekolah dari empat daerah iaitu Kuala Pilah, Seremban, Tampin dan Rembau. 

"Konvensyen ini bertujuan mencungkil bakat kepimpinan, kreativiti dan inovasi dalam gerakan koperasi melalui medium koperasi sekolah.

"KIta gunakan koperasi sebagai platform untuk pupuk minat keusahawanan kerana ia bukan satu kerjaya yang mudah. Ia mesti dipupuk dari peringkat awal.

"Kita adakan pertandingan dengan meminta mereka (pelajar) supaya ada inovasi dan kreativiti sama ada (melalui) produk baru atau memang sedia ada di pasaran, tapi (ditukar) dengan kaedahnya atau (guna) metodologi sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NS Daily pada konvensyen berkenaan di Casa Lagenda Convention Centre, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Zainab Abu Kasim berkata, program itu banyak membantu meningkatkan kreativiti dan kemahiran insaniah atau 'soft skills' pelajar.

"Ada dua perkara utama kita dapat tengok iaitu 'soft skills' dan kreativiti. Kita lihat dari segi (pelajar) berhujah dan memberi pandangan. Tadi (semalam) kita ada (sesi) Q&A (soal jawab) dengan pelajar, kita nampak mereka sangat yakin dengan produk sendiri.

"Jadi, dia (pelajar) boleh beri pandangan dan keyakinan kepada kita untuk beli produk dia. 

"Dalam koperasi keusahawanan, itu yang kita nak daripada pelajar, iaitu mereka dapat memberi keyakinan kepada orang (pembeli) tentang produk yang dihasilkan," katanya.

Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Syed Idrus Tampin Berhad muncul sebagai johan melalui projek Tengkolok Aromaterapi dan membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 berserta sijil penyertaan.

Mereka akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada hujung September nanti.