RAJA SYAIR NUSANTARA TERIMA PENGIKTIRAFAN USIM

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 21 April 2019 

NILAI : Pelantun lagu rakyat tersohor tanah air dengan karyanya bertajuk Lemak Manis dan Menghilir di Sungai Pahang iaitu Roslan Madun, mendapat pengiktirafan istimewa daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Jasa anak kelahiran Kampung Durian Tawar, Pahang yang berusia 67 tahun itu dikenang atas sumbangannya dalam memperjuangkan irama syair sehingga diberi gelaran Raja Syair Nusantara, selain turut mencipta nama menerusi lagu rakyat yang cukup dekat di hati masyarakat.

Penghargaan berkenaan telah disampaikan sendiri oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad kepada Roslan Madun semasa program Sembang Pohon Keranji 4.0 di kediaman Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh pada 17 April lalu.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, Roslan Madun telah memanfaatkan bakat dimiliki untuk kelangsungan seni warisan dan budaya tradisional Melayu dalam bentuk lagu syair dan gurindam.

"Kepakarannya turut dimanfaatkan oleh Pusat Kebudayaan USIM untuk berkolaborasi dalam pelbagai program sebelum ini, antaranya Program Syair Alam Melayu Nusantara.

"Beliau juga terlibat dengan rakaman rujukan syair bagi pertandingan peringkat kebangsaan anjuran USIM dan Jabatan Warisan Negara, selain dipilih sebagai pesona figura.

"Sebagai menghargai bakatnya, Pusat Kebudayaan USIM telah menghasilkan dua klip video lagu beliau iaitu Syair Setia Kawan dan Syair Budiman yang mana masing-masing dilagukan dengan irama Siti Zubaidah dan irama Perantau," katanya.

Dalam perkembangan lain, program Sembang Pohon Keranji 4.0 yang dicetuskan oleh Pusat Kebudayaan USIM, sekali lagi berjaya menghimpunkan lebih 50 karyawan, pendukung dan penggiat sastera sejak mula dianjurkan secara tahunan pada 2016.

Prof Musa berkata, program yang bertujuan menyantuni Sasterawan Negara itu tertumpu kepada pengisian wacana sastera dan budaya, bacaan puisi serta persembahan seni.

"Penganjuran program ini dilihat amat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk universiti mengambil inisiatif bagi mendekati warga kampus, khususnya mahasiswa dengan Sasterawan Negara.

"Kita gembira memandangkan USIM telah merintis silaturahim dengan Sasterawan Negara lebih awal lagi, apabila menyantuni Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh sejak beberapa tahun sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, 'Bersuaralah' merupakan tema bagi penganjuran Sembang Pohon Keranji 4.0.

Program ini turut diisi dengan kupasan 'Aspek Kebebasan Bersuara dalam Sastera Tradisional' oleh Prof Muhammad yang merupakan Sasterawan Negara Keenam.

Segmen mendeklamasikan puisi pula membariskan beberapa tokoh antaranya Sasterawan Negara, Dato' Zurinah Hassan; Dato' Rahman Shaari; Tan Sri Hamad Kama Piah; Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani dan Prof Musa.