SISWA SISWI UNITEN SELAMI KEHIDUPAN MASYARAKAT DESA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 21 April 2019 

1/7

PORT DICKSON : Seramai 170 pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkampung di Port Dickson sempena Program Bakti Siswa 2019 pada 11 hingga 14 April lalu.

Lebih menarik, lokasi pilihan mereka untuk edisi kali ini merupakan tempat kelahiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun iaitu Kampung Pachitan.

Menurut Naib Canselornya, Dato' Prof Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar UNITEN.

Jelas beliau, usaha tersebut dilihat berpotensi untuk menjadi titik permulaan bagi mahasiswa dan mahasiswi UNITEN menyelami kehidupan masyarakat desa.

"Kita difahamkan bahawa kebanyakan penduduk Kampung Pachitan berketurunan Jawa dan menggunakan loghat Jawa dalam perbualan seharian.

"Tak cukup dengan itu, Kampung Pachitan sememangnya terkenal dengan adat tradisional masyarakatnya.

"Kampung ini sentiasa mendapat tumpuan sebagai antara destinasi pelancongan, untuk merasai adat tradisional di Negeri Sembilan," katanya ketika mengulas rasional di sebalik pemilihan lokasi terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap agar mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dapat meraih pengalaman berharga sepanjang mengikuti program berkenaan.

Bercerita secara ringkas latar belakang program Bakti Siswa pula, Prof Kamal Nasharuddin berkata, ini merupakan satu program susulan khidmat masyarakat yang telah lama dianjurkan UNITEN.

"Pada 2017, program ini diadakan di Kampung Lahar Kepar, Pulau Pinang. Di sana, pelajar berpeluang mengenali kehidupan pesawah serta belajar mengenai tanaman padi.

"Tahun berikutnya pula, mahasiswa dan mahasiswi UNITEN mengadakan program Bakti Siswa di Pagoh, Johor. Pada tahun ini, tema Bakti Siswa di Kampung Pachitan adalah 'Mahasiswa D'Hati Rakyat'.

"Terdapat peningkatan jumlah peserta untuk edisi kali ini berbanding edisi sebelumnya, iaitu daripada 120 pelajar kepada 170 pelajar.

"Pertambahan ini melibatkan daripada kedua-dua kampus iaitu Kampus Putrajaya dan Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Pahang," katanya.

Untuk rekod, perasmian dan penyerahan anak angkat bagi program berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Pelbagai aktiviti dirangka sepanjang program tersebut antaranya gotong-royong, rewang serta perkongsian ilmu bersama pelajar sekolah berhampiran dalam pembuatan kereta solar mini.

Program Bakti Siswa 2019 mendapat tajaan dan sokongan daripada Yayasan Canselor UNITEN, Tabung Amanah Zakat, Adabi dan LION.