SMK KGV HARUMKAN NAMA NEGERI DAN NEGARA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 21 April 2019 

1/5

SEREMBAN : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V (KGV) mengharumkan nama Negeri Sembilan dan Malaysia apabila menduduki tempat kedua dalam pertandingan Land Rover 4x4 In Schools World Finals 2019.

Lebih membanggakan, sekolah berkenaan yang diwakili tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan tiga menerusi pasukan Vincera turut merangkul Anugerah Tajaan dan Pemasaran Terbaik. 

Sekali gus pencapaian ini membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dengan 22 lagi pencabar dari serata dunia dalam acara berprestij yang telah berlangsung di University of Warwick, Coventry pada 12 hingga 16 April lalu.

Foto ihsan SMK King George V, Seremban Official dan Hitz.com.my

Ketua pasukan merangkap jurutera elektrik bagi pasukan Vincera, Najwa Insyirah Mohd Yusof, 17, berkata, pihaknya sama sekali tidak menjangka akan berjaya mengharumkan nama negara. 

"Paling kami tak boleh kawal, dari segi pemanduan kereta masa track assessment (ujian trek). Sebab kami sendiri tak expert (mahir) macam mana nak guna alat kawalan itu, tapi kami (cuba) buat yang terbaik masa pertandingan," katanya.

Sementara itu guru pembimbing Vincera, Puan Gan Bin Hoon berkata, sokongan psikologi diberikan setiap masa agar mereka bersemangat untuk menempa kejayaan. 

"Saya selalu nasihatkan mereka, mesti bertanggungjawab dan kerja mesti diselesaikan," katanya yang sering mengingatkan ahli Vincera agar memberi komitmen sepenuhnya dalam pertandingan itu.

Menurut Pengetua SMK KGV, Tuan Haji Roslin Balia pula, pihak sekolah akan terus mencungkil bakat dan mencari pelapis untuk menyertai pertandingan bertaraf dunia itu sejajar dengan slogan 'Never Say No'. 

"Kita akan beri peluang pada anak-anak yang di bawah (ahli Vincera) iaitu junior-junior ini, yang bakal jadi pemimpin pelapis. Insya-Allah, saya cukup yakin dengan perancangan SMK King George V," katanya.

Dalam pada itu, kejayaan SMK KGV dan Vincera turut menarik perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

"Ribuan terima kasih dan tahniah pada mereka semua. Ini merupakan satu kejayaan juga kepada Negeri Sembilan, kerana mereka membawa bendera negeri dan negara (di sana).

"Kita harap selepas ini, ada sekolah-sekolah lain yang akan berjaya mengikuti pencapaian anak-anak ini di peringkat antarabangsa. Insya-Allah," katanya.

Vincera diwakili oleh Najwa Insyirah Mohd Yusof, 17; Goh Yen Theng, 17; Selvi Hong, 17; Alliqa Azreena Amirudin, 15; dan Hareez Dinie Norazlan, 15.

Ketua Kontinjen bagi kumpulan ini pula Encik Mohd Azri Atan, manakala guru penasihat adalah Puan Gan Bin Hoon.

Melalui pertandingan Land Rover 4x4 in Schools ini, peserta perlu mereka cipta dan membina kenderaan pacuan empat roda kawalan jauh yang terbaik.

Seterusnya kemampuan kenderaan terbabit diuji pada trek khas yang mempunyai persamaan dengan situasi melibatkan kenderaan pacuan empat roda sebenar.