HIDUPKAN KEMBALI KELAB ADAT PERPATIH DI SEKOLAH

Jumaat, 20 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Afiq Masrizal (Jurufoto Undang Luak Johol)

1/2

KUALA PILAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad mengambil inisiatif untuk menghidupkan kembali Kelab Adat Perpatih dengan memperkenalkan Hari Adat Perpatih bagi peringkat sekolah Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Dato' Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata, sekolah berkenaan wajar dijadikan perintis dan model kepada sekolah lain untuk melaksanakan program seperti itu.

Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan untuk memastikan adat dan budaya Negeri Sembilan terus kekal kerana dapat membentuk karakter pelajar dengan mengetengahkan keunikannya dari segi masakan; pakaian; permainan dan perbilangan adat.
 

"(Sebab itu) kita jemput pengetua; guru besar dan PPD ke program ini supaya dapat dikembangkan ke semua peringkat terutama dalam sistem sekolah kita. Kita juga bermatlamat nak jadikan (Hari Adat Perpatih) acara tahunan, mungkin permulaan ini (dilakukan secara) berperingkat. 

"Kefahaman dan amalan Adat Perpatih ini (dapat) dipupuk dan disebar menerusi pendidikan, supaya mereka (pelajar) dapat belajar dan lebih faham tentang adat berkenaan. 

"Seperti tahun ini, diadakan di SMK Tuanku Muhammad dan akan datang mungkin ada sekolah yang berminat nak buat program ini, (contohnya) mewakili daerah. Lama-lama semua sekolah pun teringin nak buat (hari) Adat pepatih ini macam sambutan hari kemerdekaan, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NS Daily pada Majlis Pelancaran Hari Adat perpatih Peringkat Sekolah Negeri Sembilan 2019 di SMK Tuanku Muhammad, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, YB Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu yang mewakili Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, kata Nazaruddin, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khas berjumlah RM500,000 bertujuan untuk memperkasakan Adat Perpatih.

"Kita (Kerajaan Negeri) mahu lihat Adat Perpatih terus mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya dalam kalangan generasi muda," katanya.