6 PASUKAN SERTAI KEJOHANAN SILAT MEGA CEMANDEE 

Selasa, 19 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

SEREMBAN: Sebanyak lima sekolah kebangsaan (SK) dan satu gelanggang pusat menyertai Kejohanan Pencak Silat Tertutup Mega Cemandee Peringkat Daerah Seremban, baru-baru ini.

Kejohanan itu berlangsung pada 16 November lalu di Dewan Terbuka SK King George V (SKKGV) yang melibatkan dua kategori iaitu Pra-Dini (Tahun 1-3) dan Dini (Tahun 4-6).

Pengurus Pasukan Silat SKKGV, Ahmad Suhaimi Md Din berkata, seramai 82 peserta dari SKKGV; SK Taman Sri Mawar; SK Taman Tuanku Jaafar 2; SK Warisan Puteri; SK Dusun Nyior dan gelanggang pusat menyertai kejohanan tersebut.



 

"(Kejohanan) ini adalah acara tertutup yang diadakan setiap tahun untuk pertubuhan berkenaan. Ini (merupakan) tahun ketiga SKKGV jadi tuan rumah dan mungkin akan beredar ke sekolah lain bagi tahun akan datang.

"Sebenarnya, seni silat ini agak terkebelakang berbanding seni (silat) yang lain. Jadi dengan cara ini, kita cuba kembangkan dan beri pendedahan kepada masyarakat bahawa seni silat ini masih wujud.

"Kita boleh ketengahkan kepada pelajar (bermula) dari peringkat awal. Diharapkan dengan pendedahan ini akan membuat mereka lebih memahami tentang seni silat (dengan lebih mendalam)," katanya kepada NS Daily, di sini, tempoh hari.

Sementara itu, jurulatih utama Pertubuhan Seni Silat Mega Cemandee Negeri Sembilan (PSSMCNS), Jahabar Gaffur berkata, buat masa ini mereka mempunyai gelanggang seni silat di sekolah kebangsaan sekitar daerah Seremban dan juga satu gelanggang umum di Gedong Lalang.

"Alhamdulillah, setakat ini sambutan (agak) menggalakkan daripada ibu bapa dan pihak sekolah.

"Untuk rekod pertubuhan, tahun lepas kita ada hantar lima peserta untuk Kejohanan Pencak Silat Peringkat Antarabangsa yang dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Silat Gayong Patani di Nilai. Kita telah mendapat johan bagi kategori Dini; Putera dan Puteri.

"Harapan saya suatu hari nanti, mereka (peserta) akan jadi pewaris pertubuhan silat ini dengan mengajar generasi baru seperti yang telah saya ajarkan," katanya.