SK WAWASAN JUARA RAGBI KATEGORI CUP BAWAH 11

Sabtu, 09 November 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

KUALA PILAH:  Sekolah Kebangsaan (SK) Wawasan, Seremban 2 muncul juara kategori Cup pada Kejohanan Pembangunan Ragbi Bawah 11 Tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2019, baru-baru ini.

Sekolah tersebut menewaskan SK Tunku Laksamana Nasir, Seri Menanti pada perlawanan akhir untuk menjulang Piala Pusingan YB Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu dan membawa pulang pingat serta sijil penyertaan.

Kejohanan anjuran SK Kuala Pilah (SKKP) itu berlangsung pada 6 dan 7 November lalu di Stadium Mini Kuala Pilah, di sini.

Penolong Kanan (PK) Kokurikulum SKKP, Puan Noliza Md Isa berkata, sebanyak 17 sekolah menyertai kejohanan kali ini melibatkan lima kategori iaitu Cup; Plate; Bowl; Shield dan Spoon. 

"Ini satu platform untuk kita cungkil bakat baru (dalam) sukan ragbi. Kita juga sebenarnya nak tambah bilangan pasukan ragbi di Negeri Sembilan.

"Semoga selepas ini ada lagi banyak sekolah yang (akan) sertai (kejohanan ragbi), sebagai persediaan peringkat kebangsaan pada tahun depan," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini.

Sementara itu, johan kategori Plate disandang oleh SK Mantin; johan kategori Bowl dimenangi SK Intan Perdana manakala SK Pasir Besar dan SK Sungai Sampo dinobatkan johan kategori Shield dan Spoon.

Majlis disempurnakan oleh Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah, YB Tuan Mohamad Nazaruddin Sabtu.