KOLABORASI KOLEJ KOMUNITI KUALA PILAH MEMBUAHKAN HASIL BERIMPAK TINGGI

Ahad, 07 Julai 2019

Oleh: Nisa Ardila

Jurufoto: Nisa Ardila

1/5

KUALA PILAH: Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) telah berkolaborasi dengan beberapa buah sekolah di daerah ini, menerusi Program Teknologi Peranti Mudah Alih.

Matlamat usaha berkenaan dilaksanakan bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk mencapai Revolusi Industri 4.0 atau singkatannya IR 4.0.

Langkah tersebut direalisasikan menerusi perpindahan teknologi iaitu Internet Of Things (IOT) melibatkan pensyarah dan pelajar.

Baru-baru ini, KKKP yang diketuai oleh Mohd Shafie Rahaman, telah menjadi fasilitator untuk pasukan robotik Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (STJ) ke Pertandingan Robotik Asrama Penuh Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2, 2019.

Menurut Pengarah KKKP, Ts Ahmad Afandi Abdul Khalil, STJ berjaya merangkul tempat pertama dan kedua bagi kategori Robot SUMO pada kejohanan itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Johor.

"Kejayaan ini sekaligus menyaksikan STJ menewaskan 64 pasukan daripada 32 sekolah berasrama penuh yang lain, dari seluruh Malaysia.

"Sebelum ini, kami juga pernah membuat  kolaborasi dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah dalam pertandingan 12th Federation Of International Robot-Sport Association (FIRA) 2019.

"Bertempat di Politeknik Port Dickson pada 28 April hingga 3 Mei lalu, kita berjaya meraih naib johan dalam Pertandingan MyBot bagi kategori Gladiator," katanya dalam satu kenyataan kepada NS Daily, di sini.

Majlis penutup dan penyampaian kejohanan di Johor telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Kepimpinan Asrama Berasrama Penuh, Puan Hajah Norizan Juberi.