DARI SHAH ALAM KE REMBAU

Ahad, 6 Oktober 2019

Oleh:

Nurul Aishah Ab Raman

“Kalau di sekolah, orang panggil Cikgu. Saya pula Cikgi sebab mengajar di universiti” - Itu kebiasaannya jawapan diberikan apabila berdepan soalan lazim daripada kenalan baharu yang bertanyakan perihal pekerjaan saya.

Ternyata berkesan sebagai pemecah suasana atau ice-breaking kerana respon yang diterima pastinya positif.

Tidak kiralah cikgu atau cikgi. Namun apa yang pasti, profesion sebagai ‘cikgi universiti’ atau nomenklatur paling tepat; sebagai pensyarah, bukan perkara enteng.

Sebagai orang yang masih ‘hijau’ dalam dunia akademia ini, bukanlah tempat saya untuk bersyarah tentang mana yang lebih bagus atau tidak; yang mana satu lebih mudah laluan kerjaya atau sebaliknya.

Hakikatnya apabila bergelar sebagai seorang pendidik; tidak kira di peringkat pra-sekolah hingga ke menara gading, pasti ada cabarannya yang tersendiri.

Secara peribadi, cabaran terbesar yang saya lalui setakat ini apabila terpaksa berpisah dengan keluarga tersayang.

Diberikan penempatan baharu yang jauh daripada hiruk-pikuk bandar yang sudah serasi dengan diri, bukanlah perkara mudah untuk saya terima.

Hati jadi berkecamuk; fikiran kusut; dunia saya rasakan gelap dan malap malah acap kali tertusuk rasa sesal mendalam kerana bertukar profesion.

Ramai bertanya, kenapa dan mengapa anda di sini? Soalan itu buat saya tersentak dan mula mencari jawapan jauh dalam diri.

Sebelum bertukar menjadi cikgi, saya pernah mengutip pengalaman bekerja di unit berita salah sebuah stesen televisyen tempatan.

Selain tugas hakiki sebagai pemberita, saya kerap mengendalikan orang baharu termasuk pelatih yang datang untuk menimba ilmu.

Kebiasaannya, saya turut dipertanggungjawabkan untuk memberi sesi crash course kepada orang baharu di stesen televisyen berkenaan.

Sesi perkongsian itu menjadi lebih kerap, sehingga mendorong saya menyediakan satu manual bagi memudahkan urusan pengenalan kepada mereka yang berada dalam unit berita kami.

Timbul rasa kepuasan yang tidak tergambar apabila sesuatu ilmu dikongsikan kepada mereka yang tidak tahu apa-apa; kepada insan yang menjadi tahu tentang sesuatu.

Dari situ saya mula mengintai peluang untuk menjadi seorang tenaga pengajar khususnya dalam bidang yang saya ceburi. Ibarat pepatah Arab, “ilmu tanpa amal; ibarat pokok tidak berbuah”.

Pendidikan jika dilihat dari segi takrifan Bahasa Inggeris; education diambil daripada cantuman dua kalimah bahasa Latin iaitu e’ex dan ducereduc.

E’ex bererti ‘keluar’ dan ducereduc bererti ‘memimpin’ yang keduanya dapat diterjemahkan sebagai ‘mengumpul maklumat ke dalam diri bagi membentuk bakat’.

Bakat, lebih-lebih lagi dalam bidang komunikasi dan media ini. Dalam mendepani cabaran arus semasa, bakat bukan setakat keterampilan dan kemampuan beraksi di hadapan kamera tetapi juga berilmu.

Ini amat penting kerana selaku pengamal media, anda merupakan ejen ilmu dan maklumat dalam membentuk masyarakat berkecapaian.

Semangat itu ingin saya sematkan dalam setiap bakal pengamal media baharu yang memulakan tapak di gedung pengetahuan tempat saya kini mencari rezeki.

Dari Shah Alam ke Rembau. Sungguhpun lokasi rezeki saya berubah, namun wajah-wajah yang bergelar pelajar masih sama – anak-anak muda yang dahagakan ilmu.

Masing-masing menggalas pengharapan besar ibu bapa, untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat kelak.

Realitinya, tiada pekerjaan yang tiada cabaran; tiada yang mudah dan tidak memenatkan. Kadangkala berdiri dan bercakap sepanjang tiga jam kuliah juga amat melelahkan, bagi sesiapa sahaja yang setara kerjayanya dengan saya.

Namun saya pasti yang terus membakar semangat kami adalah pelajar yang berasa seronok untuk hadir ke kuliah; yang menjaga adab dalam sesi perkongsian ilmu; yang menghargai sumbangan dan pengorbanan sekalian tenaga pengajar.

Paling penting kelak, bakal graduan dapat menggunakan dan memanfaatkan semula setiap ilmu yang telah kami kongsikan, dengan penuh kebijaksanaan.

Kesimpulannya, mencari takrif cikgu atau cikgi itu bermula daripada diri insan yang menceburi bidang pendidikan ini.

Selagi ikhlas menggalas tanggungjawab dalam membentuk pelajar menjadi manusia berketerampilan dan berperibadi unggul; yang sekali gus menjadi tonggak harapan negara di masa hadapan – maka teruskan usaha dan semangat.

Ingin saya memetik hadis riwayat At-Tabrani. Sabda Rasullulah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain)”.

Dan buat pertama kalinya dalam sejarah bagi cikgi-cikgi universiti, tanggal 5 Oktober diraikan sebagai hari kita iaitu para akademik.

Moga pengiktirafan ini lebih memacu prestasi setiap insan yang berada dalam dunia pendidikan, khususnya sektor pendidikan tinggi untuk terus menabur jasa bakti dalam profesion mulia ini.

Selamat Hari Akademia!


(*Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Kampus Rembau, UiTM Cawangan Negeri Sembilan)