THE CAST SANTUNI OKU SERI KEMUNTING

Jumaat, 6 Disember 2019

Oleh: Nur Hakim Ariffin

1/4

MASJID TANAH: Persatuan pelajar The Broadcasting Student Association (THE CAST) daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan telah menganjurkan sebuah program yang dipanggil "Broadcasting Metanoia (Castonia)”, baru-baru ini.

Program dua hari satu malam yang berlangsung di Villa D’Acqua, Masjid Tanah itu melibatkan pelbagai bentuk pengisian bertujuan membina sahsiah; keyakinan dan semangat berpasukan antara pelajar, khususnya bagi pelajar jurusan Penyiaran.

Menurut pensyarah FKPM, Puan Isma Zuriyya Ismail, penganjuran aktiviti UiTM-PDK Frollic Rollic Day menerapkan konsep khidmat masyarakat dengan kerjasama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Seri Kemunting melibatkan 10 pelajar PPDK pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah syndrome down dan autisme.

"Program ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan kenali potensi anak-anak yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

“Anak-anak OKU harus didedahkan dengan dunia luar dan diketengahkan kepada masyarakat agar pandangan serong dan persepi yang tidak tepat dapat, kita kurangkan terhadap mereka yang bertaraf OKU terutamanya yang mengalami masalah syndrome down dan autisme khususnya.

Sementara itu, Ketua Program, Muhammad Naif Naili berkata, pelajar diberikan cabaran berbeza dengan aktiviti riadah yang lazim dilakukan.

“Pelajar UiTM harus menjaga kebajikan dan memastikan pelajar PPDK berada di dalam kumpulan masing-masing sepanjang program. Kumpulan yang kekurangan ahli di akhir program akan ditolak markahnya.

"Ini antara cabaran yang kami harus hadapi sebab ada kalangan mereka terlalu aktif berlari; ada pendiam dan ada pula cepat bosan melakukan aktiviti.

“Pengalaman ini mengajar kami (untuk) mengenali tentang sifat dan perangai mereka yang berbeza-beza," katanya.

Wakil PPDK, Nurnadiah Othman berkata, program tersebut dapat memberi peluang kepada pelajar OKU untuk bergaul dengan masyarakat luar.

"Saya harap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang. Alhamdulillah, ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Dato' Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin juga tunjukkan sokongan baik kerana sudi menaja 10 hamper untuk sesi penyampaian hadiah.

"Pihak Villa D’Acqua juga berbesar hati menaja lokasi untuk pihak penganjur menjalankan aktiviti ini, tanpa mengenakan sebarang bayaran," katanya.